Rabu, 7 Mac 2012

9 Perkara – Suami Perlu Peka


Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat memahami perasaan dan diri mereka semasa mereka sedang sarat mengandung. Ini adalah kerana pada waktu tersebut, keadaan emosi mereka tidak begitu stabil dan memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada orang lain terutamanya daripada suami tercinta.
Mungkin masih ramai para suami yang berada di luar sana yang masih lagi tidak berjaya untuk memahami situasi dan keadaan isteri ketika mengandung. Sebagai suami yang soleh dan mithali adalah wajar bagi anda untuk melakukan sembilan (9) perkara di bawah ini ketika isteri anda sedang mengandungkan zuriat anda agar mereka sentiasa ceria dan sihat sepanjang tempoh kandungan yang mencecah sembilan (9) bulan itu.
 1. Luangkan masa bersama isteri- Sebagai seorang suami yang mempunyai pelbagai tanggungjawab samada di rumah mahupun di pejabat, sudah tentu adakalanya anda berkemungkinan menjadi terlalu sibuk dengan urusan-urusan yang perlu anda selesaikan.
Usah jadikan ini alasan untuk tidak meluangkan masa anda bersama isteri tercinta. Anda perlulah berusaha sedaya upaya untuk meluangkan masa anda bersama isteri. Wujudkan suasana 'relaks' antara kamu berdua dan keraplah berkomunikasi antara satu sama lain.
Ini kerana pada waktu seperti ini, seorang isteri amat memerlukan perhatian daripada anda. Dengan berada di samping isteri, ia pasti dapat membantu mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.
2. Membantu menjaga pemakanan isteri- Seperti yang sedia maklum, pada waktu-waktu seperti ini si isteri biasanya akan mengalami simptom mengidam. Sebagai seorang suami, anda sepatutnya bantu isteri anda dengan cara memenuhi kehendak mereka selagi termampu (selagi makanan yang diidamkan halal, tidak mustahil diperolehi dan sebagainya).
Selain daripada itu, si isteri yang sedang mengandung juga memerlukan makanan yang berkhasiat agar tumbesaran bayi tidak terganggu. Si suami wajar membelikan makanan-makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, yogurt, madu dan lain-lain agar anak di dalam kandungan tersebut mendapat nutrien yang seimbang.
3. Memahami keadaan fizikal mereka- Suami perlu sedar bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala pergerakan isteri akan menjadi lebih perlahan daripada biasa. Oleh itu, apabila anda membawa isteri anda keluar untuk bersiar-siar, berjalanlah dengan perlahan untuk menunjukkan bahawa anda memahami situasi isteri anda. Adalah sangat tidak wajar jika anda memarahi mereka hanya disebabkan pergerakan mereka yang lambat.


4. Bersikap ringan tulang- Semasa isteri anda sedang sarat mengandung, tidak perlulah anda bertanya mengenai perkara-perkara yang perlu anda bantu Apabila melihat kain yang bertimbun tidak berbasuh, ringan-ringanlah tangan untuk membantu membasuh kain-kain tersebut. Sama juga halnya dengan kerja-kerja rumah yang lain. Ringankanlah beban isteri anda bukan menambahkan beban tersebut dengan membiarkan cawan kopi anda yang tidak berbasuh, surat khabar yang anda baca tidak terlipat dan lain-lain lagi.
5. Belajar psikologi - Isteri yang mengandung akan mengalami perubahan yang besar baik dari segi emosi mahupun fizikal mereka. Suami wajar mengetahui tanda-tanda perubahan ini. Dengan mempelajari ilmu psikologi serba sedikit anda akan lebih bersedia sekiranya isteri anda marah-marah dengan tiba-tiba, menjadi terlalu sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.
6. Membantu menyiapkan hidangan- Sekiranya sebelum ini tugas-tugas memasak di dapur hanya dilakukan oleh si isteri semata-mata maka apalah salahnya sekiranya selama sembilan bulan ini si suami belajar untuk menyesuaikan diri berada di dapur. Sekiranya anda tidak memasak sekalipun, anda masih boleh membantu isteri memotong bahan-bahan masakan, menumis dan sebagainya. Ini juga  secara tidak langsung akan menjadikan pasangan suami isteri tersebut bertambah mesra antara satu sama lain.
7. Membantu menjaga anak-anak yang lain- Ini adalah peluang keemasan untuk anda sebagai suami dan ayah menghabiskan banyak masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan anak.
8. Membawa isteri pergi ke mana-mana- Pada waktu ini, sebaiknya jangan biarkan isteri anda memandu seorang diri. Lebih-lebih lagi sekiranya usia kandungan telah mencecah enam bulan dan ke atas. Sebaiknya anda korbankan masa dan tenaga untuk menjadi pemandu kepada isteri anda dan bawalah mereka pergi membeli barang dapur, baju bayi dan sebagainya.
9. Menabung dari awal- Perkara yang ini anda perlu bersedia dari awal lagi. Kukuhkan kedudukan kewangan anda agar tidak ada masalah yang timbul di kemudian hari. Maklumlah harga-harga barangan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan sekarang sudah semakin mahal. Setiap kali harga petrol naik dah sah-sah harga-harga barang lain pun akan turut naik bukan? Oleh itu, bagi yang baru mendirikan rumah tangga dan yang masih belum berkahwin tu, elok-eloklah menabung seringgit sehari mulai sekarang. Kalau lebih, itu jauh lebih baik.

CIRI-CIRI SUAMI IDAMAN WANITA


Suami Teladan ialah Suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya.Selalu menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan,tanggungjawab
sesuai dengan kemampuannya. Ia selalu berterus terang dengan isterinya.Jika ia mempunyai kekurangan, ia akan menyatakan kepada isterinya.

Suami yang baik, tidak menyembunyikan rahsia yang tidak disenangi isterinya. Apabila berkata-kata dengan isterinya dengan cara lembut dan bersopan santun.

Suami yang soleh, selalu membimbing isterinya, menghiburkan isterinya,berbincang-bincang, menghargai pandangan isterinya dan sebagainya.Suami yang menganggap isterinya sebagai kekasih dan sahabat.Tidak mudah cemburu. Mempunyai keyakinan dan menaruh kepercayaan terhadap isterinya.

Suami yang bijaksana, suami yang sanggup menjadi pemimpin rumahtangga.

Suami yang layak menjadi pemimpin sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri berikut iaitu:

1.Tubuh badan yang sempurna - sanggup melaksanakan tanggungjawabnya dengan kesempurnaan anggotanya. Ini bermaksud selagi mampu memenuhi keperluan zahir dan batin.
2. Akal fikiran yang sempurna - berfikiran positif.
3. Pengetahuan agama yang sempurna - untuk membimbing ahli keluarganya mengamalkan ajaran agama sebagai panduan hidup
4. Membelanjakan sebahagian harta - mencari nafkah untuk menyara hidup ahli keluarganya

Keperibadian Suami Yang Menjadi Impian Isteri

1. Penuh kerinduan dan kasih sayang
2. Mencintai
3. Gagah dan berakhlak mulia
4. Kaya dan bijaksana
5. Memberikan cahaya kehidupan
6. Menegakkan kebenaran
7. Mulia di sisi Allah

Ciri-ciri Suami Teladan

- suami yang soleh yang sentiasa menjalankan perintah Allah
- suami yang tidak sanggup melihat isterinya meringankan perintah Allah
- suami yang bersikap mahu memaafkan dan membetulkan kesalahan isterinya.

Ciri-Ciri Suami Yang Soleh ialah:

- Mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.
- Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah SWT
- Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya
- Menjaga hati dan perasaan isteri
- Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu yang diluar kemampuan isteri
- Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan
- Jangan mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain dihadapan isteri.
- Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka
- Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai pemimpin
- Memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan
- Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa
- Bertanggungjawab mendidik akhlak keluarganya
- Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka
- Memberikan kasih sayang dan berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan bersama.

Syarat mendirikan rumahtangga Islam agar mendapat keredhaan Allah SWT iaitu:

- Ahlinya berpendidikan Islam, berjiwa teguh, tenang dan damai.
- Suasana rumahtangga sentiasa riang dan penuh kegembiraan.
- Rumahtangga sentiasa bersih dan selesa
- Rumahtangga yang sentiasa memelihara dan menjauhi daripada perkara-perkara haram dan syubhat
- Ahli-ahlinya bersolat secara berjemaah
- Bersih hati, pancaindera dan anggota badan serta menjauhi sifat-sifat yang berlebih-lebihan ketika bersolek
- Memuliakan dan menghormati agama serta memandang tinggi akan nilai-nilai keperibadian muslim
- Anggota keluarga memiliki kesefahaman dan bijaksana dalam mentadbir rumahtangga
- Memilih calon suami/isteri berasaskan Islam
- Rumahtangga hendaklah sentiasa ke arah kebaikan dan kebajikan
- Dakwah Islamiah sentiasa terlaksana dalam rumahtangga.

Suami yang penuh sentuhan kasih:

Ada 10 nasihat untuk suami dalam memahami hubungannya dengan isteri :

1. Bersikap tegas dan lemah lembut terhadap isteri.
Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalulanya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi "boss". Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi pujian terhadap isteri.
Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian,hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepada pasangannya, "Adakah abang cinta padaku? " Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan batas tanggungjawab.
Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri.Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan, masa dan tempat.

4. Menghindari kritikan terhadap isteri.
Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri.Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya iaitu:
- Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah
- Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada perasaan kecewa dan tekanan batin.
- Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama.
- Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirinya sendiri
- Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak.
- Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan perceraian.

5. Memperhatikan sesuatu yang romantik.
Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita,hal sebegitu adalah penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yang mempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami isteri yang ingin selalu di samping suami.
Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya.Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga perasaan aman dalam kehidupan isteri.
Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami gelora jiwa isteri.
Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya, maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai org yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina kerjasama yang baik.
Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi keperluan peribadi.
Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Kewajipan Suami Dalam Rumahtangga.

- Memenuhi mas kahwin isteri secara sempurna.
- Memberi nafkah kepada isteri.
- Menggaulinya dengan baik.
- Memberi nafkah sesuai dengan kemampuan.
- Sentiasa berbincang dengan isteri dalam segala hal
- Mengajak isteri bergurau senda, berlaku lemah lembut kepadanya,menghiburkan isteri supaya hatinya sentiasa gembira.
- Memaafkan kesalahan isterinya apalagi terhadap isteri yang berbudi pekerti mulia.
- Di hadapan isteri hendaklah menunjukkan keindahan dan kebaikan kerana isterinya juga menyenangi apa yg disenangi oleh suaminya.
- Membantu isteri dalam urusan rumahtangga terutama apabila isteri sakit atau sibuk dengan pekerjaannya.
- Tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya di hadapan umum.
- Melindungi isteri dari api neraka.

Cemburu hanya kerana agama dan kehormatan.

Cemburu ini bermaksud, menjaga isteri dari segala sesuatu yang berbentuk pandangan, perkataan atau perasaan.

Secara umum lelaki bersifat :
- berani dan gagah perkasa
- ingin menolong yang lemah
- ingin berkuasa
- kasar dan tamak

manakala wanita bersifat :
- lemah lembut
- pemalu
- mempunyai perasaan yang halus
- bersopan santun
- penyabar.

Sifat-sifat ini adalah bersesuaian dengan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing.

Membimbing isteri.

Di samping memiliki sifat-safat yang baik, wanita juga mempunyai sifat buruk yang kadangkala merupakan sifat asal ataupun dari pengaruh luaran.
Diantaranya:
- Mudah lupa dalam mengingati Allah.Kesibukan dengan harta kekayaan dan anak-anak kadang-kala membuat wanita lengah akan perintah Allah. Kelalaian ini akan memberi peluang kepada hawa nafsu menguasainya.
- Mudah terpengaruh oleh tipu daya dunia.Kilauan dunia sering membuat wanita terpedaya.
- Sering bersikap bangga dan bermegah-megah kepada orang lain.

Dengan memahami sifat isteri, suami boleh membimbing dan menasihati isteri.Suami pula sepatutnya tahu bagaimana cara membetulkan isteri.Tersilap cara akan mengakibatkan perselisihan. Perselisihan dalam rumahtangga dapat dikurangkan sekiranya pasangan mengamalkan perangai yang baik seperti :

- Janganlah suami dan isteri marah pada masa yang sama.
- Jangan mengeluarkan suara yang kuat antara satu sama lain
- Jika ada seorang yang harus menang dalam perselisihan, maka biarkanlah ia menang.
- Jika harus mengkritik pasangan, lakukanlah dengan sikap kasih sayang.
- Jangan mengungkit kembali kesalahan-kesalahan lalu
- Lebih baik tidak mempunyai masa untuk orang lain daripada tidak mempunyai masa terhadap pasangan.
- Jangan tidur jika ada perselisihan belum diselesaikan.
- Berkata sesuatu yang manis atau pujian pada pasangan kita sekurang-kurangnya sekali sehari.
- Jika bersalah, akuilah kesalahan dan meminta maaf.
- Jangan lupa bahawa perselisihan terjadi akibat dua orang dan biasanya org yang bersalah paling banyak berbicara.

Membimbing anak.

Seorang suami yang adalah suami yang tidak mengabaikan tanggungjawabnya.
Antaranya:

- Memberikan nama yang baik bagi anaknya
- Memberi nafkah
- Bertanggungjawab atas pendidikan anak dan sebagainya

Apa Kabar Jodohku..


Apa khabar jodohku?
Berat rasanya kelopak mataku untuk tertutup. Bagaimana dengan kamu?
Apa kamu selalu terbangun di sepertiga malam terakhir? .. dan apakah mulutmu terus menerus berzikir dimalam hari?
Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..
Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang, dan masih banyak kewajipan yang harus kita penuhi saban waktu.
Kadang–kala aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?
Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu.
Adakah kau selalu menghiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan?. Apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, hanya untuk menghadapNya?
Jodohku, sihatkah kamu?
Kalau aku berada disampingmu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.
Jodohku, sabar dan tenanglah..
Aku disini masih bersabar menanti mu. Janganlah hatimubersedih, senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita.
Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan dekatkanlah dirimu kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap agar kamu baik-baik saja.
Jodohku, aku rindu..
Bilakah kita akan bertemu?. Begitu banyak hal yang ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat–nasihat mu.
Hati ini kosong, dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.
Jodohku..
Adakah kau juga rindu padaku?. Bagaimana dengan Quranmu?. Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak?. Apa yang kau fahami dari surah itu?. Ceritakanlah kepadaku.. ingin aku mendengarnya.
.. Dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..
Apa perubahan  yang kau lakukan dari hari ke hari?. Semakin baikkah?. Ketahuilah, ku hanya mengharapkan yang terbaik buatmu.
Jodohku..
Disetiap langkahku dan seusai solatku, ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya.
Bersabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama.. dan ingatlah sayangku, janganlah sampai dirimu tersalah memilih jalan.
Jodohku..
Nantikanlah diriku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa rahmat untuk kita dari-Nya.
Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama.. kerana aku mencintaimu secara tulus dan ikhlas demi-Nya.
Jodohku..
Bersiaplah kau untuk mencintaiku secara tulus dan redha menerima segala kekuranganku dan membenarkanku dikala aku salah.
Sayang, berusahalah membahagiakan orang tuamu .. dengan menjaga sikapmu dan tutur katamu. Aku yakin kau adalah seorang yang sabar, seorang yang cekal, seorang yang boleh membesarkan anak–anak kita kelak dengan penuh hikmah.
Ingatlah, jangan pernah dikau merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu.
Jodohku..
Seandainya siang sudah berlalu.. pejamkanlah matamu dengan buaian doa, dariku yang selalu kuhadiahkan untukmu.
Jodohku..
Ingatlah sayang, aku selalu ada untukmu..
Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.. dan semoga ALLAH yang maha Esa selalu membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin


~~, sumber : copy paste ajew..hehehe...